Sunday, May 23, 2010

KHTP: Tiada pelabur lari, tiada pekerja dibuang

Ditulis oleh Azamin Amin

ALOR SETAR: Kenyataan bahawa imej Kedah terjejas dan mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan kerajaan negeri menguruskan Taman Tekonologi Tinggi Kulim (KHTP) - Kulim Hitech adalah tidak berasas.

Ini berikutan pengeluar cip terkemuka dunia, Intel Inc. (Intel) menutup tiga unit firma Intel di KHTP kerana memindahkannya ke Amerika Syarikat manakala kesemua para pekerjanya diserapkan ke bahagian lain dan tidak ditamatkan perkhidmatannya.

Demikian kenyataan Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Asas Tani,Bioteknologi, Bekalan Air dan Tenaga negeri Dato' Ir Amiruddin Hamzah yang membidas kenyataan Pengerusi MCA yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri yang pernah memegang portfolio industri, Dato' Chong Itt Chew.

Katanya kenyataan Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat sehingga Februari ini, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sejumlah RM1.529 billion.

"Mungkin dia masih bermimpi pegang portfolio ini dan cuba mengeluarkan komen-komen yang nakal.

"Tidak ada pelabur yang lari malah kita menerima peningkatan pelaburan sejak 2008. Dalam isu Intel, ianya perkara biasa dalam perniagaan terutama berkaitan bidang teknologi," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, 17 Mei lalu.

Beliau berkata nilai pelaburan dua bulan itu sudah melebih daripada pelaburan tahun lalu iaitu RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.

"Tidak benar Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang tutup atau keluar daripada KHTP.

"Masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru," katanya.

Beliau juga menjelaskan setakat ini belum menerima sebarang panggilan atau pertanyaan daripada pihak pelabur yang bimbang tentang penutupan unit Intel ini atau merasa tidak selamat untuk melabur di Kedah ini.

"Jika 2008 pada awalnya, memang ada kebimbangan itu sehingga ada yang menggelar kerajaan ini sebagai 'Taliban Government'
'
"... tetapi selepas itu, semua menaruh kepercayaan kepada kerajaan ini dan yakin untuk melabur di sini," katanya.

Kata Amirrudin setakat ini nilai pelaburan yang ada di KHTP sejumlah RM24 billion yang memberi peluang kepada lebih 16,000 pekerjaan kepada pendududk di negeri ini manakala sejak 2008 lalu 80 peratus pelaburan di KHTP ini datangnya daripada pelabur luar negara.


Bookmark and Share

No comments: