Sunday, May 23, 2010

Spekulasi DUN Kedah bubar berakhir

Ditulis oleh AZMAN AHMAD

KOTA SARANG SEMUT, 22 Mei - Spekulasi kononnya Menteri Besar YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan DUN ekoran empat ADUN dari gabungan parti kerajaan yang memerintah akan 'melompat' parti berakhir apabila keempat-empat ADUN yang dilibatkan membuat penegasan bahawa mereka sekali-kali tidak akan keluar parti dan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar.

Keempat-empat ADUN tersebut ialah YB Lim Soo Nee (PKR Kulim), YB Tan Chow Kang (PKR Sidam), YB S. Manikumar (PKR Bukit Selambau) dan YB Lee Guan Aik (DAP Kota Darul Aman). Keempat-empat mereka berceramah bersama YAB Menteri Besar di hadapan lebih 20 ribu yang membanjiri Kompleks PAS Kedah di sini. Kesemua mereka meminta spekulasi 'lompat parti' ditamatkan segera dan tidak akan menjawab lagi soalan yang sama dari mana-mana pihak, sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada tugas.

Kecemerlangan syahsiah perlu seimbang dengan akademik

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Dunia pendidikan sekarang banyak berbicara soal kecemerlangan. Justeru itu, sekolah-sekolah banyak yang berlumba untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang.

Namun, kecemerlangan sekolah tidak hanya boleh diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga melalui pembinaan sahsiah dan keperibadian yang mulia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Demikian kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Dato’ Dr Abd Isa Ismail pada majlis sambutan Hari Guru HESA dan PASTI 2010 di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

“Guru merupakan satu kumpulan manusia yang istimewa, di mana tidak ada satu manusia pun yang tak pernah merasai khidmat guru, bahkan guru itu sendiri pernah merasai jasa dan pengorbanan guru.

“Profesion perguruan amat unik kerana berbeza dengan profesion yang lain, ia tidak bergerak di atas landasan yang tepat, bahkan profesion perguruan ini adalah ditentukan oleh persekitaran, adakalanya ia berjaya serta sebaliknya.

“Guru yang berkesan adalah guru yang profesional, iaitu tak pernah menyerah kalah dalam melaksanakan tanggungjawab, walau bagaimana keadaan sekalipun pelajar yang datang padanya,” jelas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Negeri Kedah.

Menurut beliau, warga pendidik seharusnya menghayati dan mendasari budaya kecemerlangan dan menjadikan peningkatan dan pengurusan kualiti yang menyeluruh sebagai agenda utama dalam gerak kerja pendidikan.

“Guru yang berjaya adalah guru yang mempunyai sifat empati, iaitu meletakkan dirinya sebagaimana yang dirasai oleh pelajarnya serta mempunyai sifat simpati dalam usaha murni mendidik anak-anak bangsa,” ujar beliau.

Majlis anjuran Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) dan beberapa buah badan bukan kerajaan

Kerajaan Negeri mahu setiap rakyat miliki rumah sendiri

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

Bagi mempastikan keselesaan hidup rakyat, kerajaan berusaha menyelesaikan masalah perumahan dan akan berusaha supaya semua rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

Demikian diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan YB Dato’ Ir Haji Phahrolrazi Md. Zawawi kepada wartawan Warta Darul Aman.

Katanya, keperluan rumah hari ini semakin meningkat berdasarkan jumlah yang mendaftar di Bahagian Perumahan mencecah 23 ribu pemohon.

“Jumlah ini adalah permohonan untuk rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah jenis ini dibina oleh GLC dan pihak swasta serta dibina di kawasan-kawasan ikut permintaan,” katanya.

Kerajaan menggalakkan pihak pemaju perumahan membina rumah mampu milik yang berharga RM150 ribu ke bawah seperti yang dibuat oleh Syarikat Seri Temin di Bandar Sejahtera di Pokok Sena. Rumah tersebut habis dijual di hari pelancaran lagi.

Manakala di Sungai Petani dan Kulim, katanya, bekalan rumah mampu milik ini sudah berlebihan yang telah diluluskan.

Selain itu pembangunan perumahan di daerah-daerah adalah mengikut permintaan dan kategori yang diperlukan ialah rumah mampu milik kerana rakyat golongan sederhana mampu membelinya.

“Kalau atas permintaan untuk rumah mahal tidak begitu banyak, permintaan mungkin datang dari pemaju yang mahu menjual kepada pembeli dari luar negeri Kedah. Ini berlaku di Bandar-bandar besar seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim,” katanya.

Menurut beliau lagi, mengikut perancangan perumahan tahun 2020 nanti, 60 peratus penduduk Kedah akan tinggal dalam taman-taman perumahan sementara 40 peratus tinggal di kampung tradisional atau kampung baru.

“Ini kerana generasi baru akan datang tidak ada tanah untuk membina rumah sendiri tetapi mereka ada pekerjaan dengan gaji bulanan untuk buat pinjaman membeli rumah. Mereka tidak mampu membeli tanah kerana tanah kampung bergeran besar tidak boleh buat pinjaman untuk tujuan ini.

“Rumah kampung tradisional tidak boleh buat pinjaman sebab takkan nak gadai satu geran yang besar libatkan harta orang lain. Hasilnya generasi yang kerja makan gaji dengan pendapatan sendiri akan beli rumah dalam taman,” katanya.

Trend ini juga, katanya, bergantung kepada cita rasa generasi akan datang yang suka duduk dalam kawasan perumahan yang ada kemudahan lengkap selain berdekatan dengan bandar dan pusat perniagaan. Ketika ini berlaku transformasi penduduk di mana kampung tradisional dan kampung baru ini akan mengecil dari segi peratus pertambahan penduduk.

Membasmi kemiskinan ditekankan kerajaan dalam merealisasikan cita-cita supaya rakyat hidup selesa. Untuk itu di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan juga Pejabat Daerah menjadi penyelaras kordinator kepada agensi-agensi yang memberi bantuan kepada rakyat terutama golongan miskin tegar. Miskin tegar ini adalah berpendapatan dibawah RM450 dan ketegori miskin pula sebanyak RM 720 seisi keluarga.

“Di peringkat ini pendaftaran dilakukan oleh e-Sinar dan kerajaan menyelaras agensi-agensi yang memberi bantuan supaya yang betul-betul layak sahaja menerima. Ini kerana sekarang ini masing-masing agensi memberi ikut permohonan kepada mereka.

“Jadi kita nak dapat maklumat permohonan yang belum dapat dan berapa agensi yang bagi bantuan. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zakat, Keda, Felcra dan agensi pusat serta Jabatan Pelajaran juga ada bantuan kepada pelajar sekolah. Selain itu bantuan perniagaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.

Ini diselaraskan oleh UPEN melalui pendaftaran e-Sinar di mana sehingga kini sebanyak 7,000 telah didaftarkan dan kemungkinan jumlah pendaftaran akan mencecah 20,000 orang.

Berhubung isu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pusat, beliau menjelaskan bahawa Negeri sentiasa memberi kerjasama erat kepada Kerajaan Pusat demi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Katanya, mesyuarat sentiasa diadakan bagi mempastikan kelancaran projek-projek peruntukan Pusat yang melibatkan agensi kerajaan negeri.

“Seperti projek keretapi ‘double tracking’. Ini projek besar di bawah Kementerian Pengangkutan yang diserah kepada Syarikat Gamuda. Kerajaan Negeri cuma terlibat dalam pengambilan tanah dan masalah sosial seperti pemindahan setinggan, kelulusan pelan bangunan dan jejambat. Kita akan bantu melalui pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Spekulasi DUN Kedah bubar berakhir

Ditulis oleh AZMAN AHMAD

KOTA SARANG SEMUT, 22 Mei - Spekulasi kononnya Menteri Besar YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan DUN ekoran empat ADUN dari gabungan parti kerajaan yang memerintah akan 'melompat' parti berakhir apabila keempat-empat ADUN yang dilibatkan membuat penegasan bahawa mereka sekali-kali tidak akan keluar parti dan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar.

Keempat-empat ADUN tersebut ialah YB Lim Soo Nee (PKR Kulim), YB Tan Chow Kang (PKR Sidam), YB S. Manikumar (PKR Bukit Selambau) dan YB Lee Guan Aik (DAP Kota Darul Aman). Keempat-empat mereka berceramah bersama YAB Menteri Besar di hadapan lebih 20 ribu yang membanjiri Kompleks PAS Kedah di sini. Kesemua mereka meminta spekulasi 'lompat parti' ditamatkan segera dan tidak akan menjawab lagi soalan yang sama dari mana-mana pihak, sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada tugas.

KHTP: Tiada pelabur lari, tiada pekerja dibuang

Ditulis oleh Azamin Amin

ALOR SETAR: Kenyataan bahawa imej Kedah terjejas dan mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan kerajaan negeri menguruskan Taman Tekonologi Tinggi Kulim (KHTP) - Kulim Hitech adalah tidak berasas.

Ini berikutan pengeluar cip terkemuka dunia, Intel Inc. (Intel) menutup tiga unit firma Intel di KHTP kerana memindahkannya ke Amerika Syarikat manakala kesemua para pekerjanya diserapkan ke bahagian lain dan tidak ditamatkan perkhidmatannya.

Demikian kenyataan Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Asas Tani,Bioteknologi, Bekalan Air dan Tenaga negeri Dato' Ir Amiruddin Hamzah yang membidas kenyataan Pengerusi MCA yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri yang pernah memegang portfolio industri, Dato' Chong Itt Chew.

Katanya kenyataan Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat sehingga Februari ini, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sejumlah RM1.529 billion.

"Mungkin dia masih bermimpi pegang portfolio ini dan cuba mengeluarkan komen-komen yang nakal.

"Tidak ada pelabur yang lari malah kita menerima peningkatan pelaburan sejak 2008. Dalam isu Intel, ianya perkara biasa dalam perniagaan terutama berkaitan bidang teknologi," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, 17 Mei lalu.

Beliau berkata nilai pelaburan dua bulan itu sudah melebih daripada pelaburan tahun lalu iaitu RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.

"Tidak benar Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang tutup atau keluar daripada KHTP.

"Masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru," katanya.

Beliau juga menjelaskan setakat ini belum menerima sebarang panggilan atau pertanyaan daripada pihak pelabur yang bimbang tentang penutupan unit Intel ini atau merasa tidak selamat untuk melabur di Kedah ini.

"Jika 2008 pada awalnya, memang ada kebimbangan itu sehingga ada yang menggelar kerajaan ini sebagai 'Taliban Government'
'
"... tetapi selepas itu, semua menaruh kepercayaan kepada kerajaan ini dan yakin untuk melabur di sini," katanya.

Kata Amirrudin setakat ini nilai pelaburan yang ada di KHTP sejumlah RM24 billion yang memberi peluang kepada lebih 16,000 pekerjaan kepada pendududk di negeri ini manakala sejak 2008 lalu 80 peratus pelaburan di KHTP ini datangnya daripada pelabur luar negara.


Bookmark and Share