Saturday, September 27, 2008

Majlis Gotong Royong Bersama YB Dato' Mohamad Taulan Rasul/ YB Md Rohsidi Osman dengan Penduduk Taman Rakyat


ALOR STAR, 4 Mei (Hrkh) – Masyarakat di kawasan kejiranan Taman Rakyat, Jalan Sultanah, Alor Star hari ini mengisi kelapangan hujung minggu mereka dengan mengadakan majlis gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka.

Muafakat antara mereka jelas dilihat apabila masyarakat dari segenap peringkat umur menyertai gotong-royong yang bermula seawal jam 8.00 pagi. Terdahulu sebelum itu mereka menikmati sarapan bersama yang disediakan oleh pihak penganjur iaitu Kariah Surau Taman Rakyat.

Lebih meriah, program tersebut turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Mohamed Taulan Mat Rasul dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Md. Rohsidi Osman.

Program turut dimudahkan dengan komitmen dari Majlis Bandaraya Alor Star, Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Star, Jabatan Kerja Raya Alor Star dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

Pengerusi Surau Taman Rakyat, Mohammad Isa Shari menjelaskan gotong-royong tersebut diadakan selain bertujuan membersihkan kawasan kejiranan, ianya juga untuk menyatupadukan penduduk Taman Rakyat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Jelasnya lagi, penduduk turut merancang untuk mencantikkan kawasan kejiranan tersebut dengan menggantikan pokok-pokok dan kemudahan yang telah lama dengan yang baru selain meneruskan aktiviti gotong-royong dari masa ke semasa.

“Oleh kerana taman ini berada dalam bandaraya (Alor Star), jadi kita sebenarnya membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencantikkan lagi kawasan-kawasan dalam bandaraya. Inipun tanggungjawab kami juga untuk bersama dengan Majlis Bandaraya (Alor Star),” ujar beliau yang juga merupakan Imam Masjid Bukhory, Alor Star.

Sementara itu, Mohamed Taulan pula mengharapkan agar penduduk dapat bekerjasama dengan PBT dalam menjaga kebersihan.

“Sama-sama kita tolong PBT membersihkan kawasan kita sekurang-kurangnya dengan kita buang sampah di tempat yang dikhaskan,” pohonnya.

Dalam mewujudkan hubungan itu, ujarnya PBT juga perlu menyediakan kemudahan yang secukupnya serta memastikan proses penyelenggaraan berlangsung sebaiknya.

“Biar kita berasa selesa hidup dalam bandar, orang yang datang ke bandar kita juga rasa selesa. Ini akan meramaikan lagi orang datang ke bandar kita,” jelasnya.

Kesempatan berada di Taman Rakyat turut digunakan beliau untuk melawat kenalan lamanya, Dr. Abdullah Ibrahim yang keuzuran.

Menurut beliau, Dr. Abdullah yang kini mengidap Parkinson pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Institut Agama Islam Kedah (INSANIAH) dan Koleh Islam Darul Ulum. Dr. Abdullah juga pernah dilantik sebagai Penasihat Syariah di beberapa buah bank tempatan dan luar negara.

No comments: