Saturday, September 27, 2008

Perniagaan memerlukan ketabahan dan Kerajinan - YB Taulan

ALOR STAR, 16 Mei (Hrkh) - Mencari rezeki melalui perniagaan perlulah dengan usaha yang bersungguh-sungguh mengikut panduan Islam selain pergantungan harap semata-mata hanya kepada Allah.

Demikian antara intipati ucapan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamed Taulan Mat Rasul dalam satu majlis bersama penjaja kecil yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, perniagaan adalah suatu urusan yang memerlukan ketabahan dan kerajinan.

“Sebab itulah orang Inggeris memanggil meniaga ini business, ia busy yakni sibuk. Sebab sibuk itulah orang meniaga ini kaya raya,” terang beliau.

Peniaga boleh menambah rezeki kerana katanya Islam itu cukup mudah. Jelasnya mudah yang dimaksudkan adalah ruang memohon daripada Allah SWT.

“Tuan-tuan minta rezeki minta daripada Allah SWT, bukan minta daripada saya, bukan minta daripada (majlis) bandaran, bukan minta daripada orang, bukan minta dari persatuan, tapi minta kepada Allah SWT. Rezeki kita Allah SWT yang beri,” tegasnya.

Mohamed Taulan turut menyentuh kepentingan solat sunat dhuha yang berkait kepentingan memohon rezeki.

“Lepas kita sembahyang subuh ada satu lagi sembahyang iaitu sembahyang dhuha. Ini untuk minta rezeki. Pun begitu ia bukan sembahyang yang wajib. Tapi jika kita buat kita bukan sahaja dapat pahala, tapi kita juga dapat rezeki daripada Allah SWT.

“Sembahyang itu biasa saja, tapi doanya itu. Dalam doanya itu kita minta daripada Allah SWT rezeki yang jauh didekatkan, rezeki yang susah itu mudahkan, rezeki yang di atas langit diturunkan, yang di bumi ditimbulkan, yang haram itu dihalalkan, itu (sebahagian) doanya. Ini lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT serta menjauhkan kita daripada perkara-perkara tidak elok,” terangnya lagi.

Tambah beliau, Parti Islam SeMalaysia yang menerajui Kerajaan Kedah hendak memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat serta mengeluarkan rakyat daripada dosa.

“Apabila kita mengadap Allah SWT, Dia tidak tanya soal duit dan harta. Yang Dia tanya pahala banyak mana yang dibawa dari dunia.

“Kerana itu kita meniaga, berniagalah cara ikhlas, jujur, barang baik, harga yang berpatutan,” nasihatnya.

Dalam keadaan harga barang yang mahal dan kos penyediaan yang semakin meningkat sekarang ini, maka peniaga katanya mestilah meletakkan harga yang berpatutan.

“Islam mengajar kita mencari untung, misalnya barang modal RM 1, boleh jual maksimum RM 3. Maknanya 200 peratus kita boleh naik. Tidak boleh lebih daripada itu,” tegas beliau.

Menurut Mohamed Taulan lagi untuk maju peniaga perlu memperkenalkan barang atau produk sendiri. Misalnya makanan, beliau berkata masyarakat hari ini pertamanya mementingkan makanan yang dibeli sedap, keduanya bersih dan ketiganya murah.

Bagaimanapun jelasnya, murah ini sesuatu yang relatif, oleh itu tegasnya harga mesti sesuai dengan barang yang didagangkan.

“Oleh itu jangan jual barang yang tidak berkualiti, atau barang yang tidak setaraf dengan yang kita iklankan.

“Kalau barang itu buat daripada cotton katakan cotton, kalau buat daripada sutera katakan sutera. Jangan kata barang itu original sedangkan datang daripada Thailand. Kita nak kejujuran dalam meniaga,” perinci beliau.

Tegas beliau, oleh kerana rezeki daripada Allah SWT, maka perlunya juga mencontohi Nabi SAW dalam menjalankan perniagaan.

“Macam mana dia (Nabi SAW) boleh berniaga sedangkan itu barang orang lain? Ini kerana dia jujur. Dia terangkan kepada orang mengenai barang ini macam ini, mahu barang macam ni harganya begini. Ini contoh yang diajar oleh Islam,” terangnya mengakhiri isi ucapan.

Perasmian Mesyuarat Agong Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Simpang Kuala

ALOR STAR, 27 April (Hrkh) – Para peniaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mewujudkan suasana menang-menang iaitu dengan perbincangan dan tolak ansur dalam mencapai persefahaman antara kedua-dua pihak.

Demikian menurut Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohamed Taulan Mat Rasul dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-9 Penjaja-penjaja Kecil Melayu Kawasan Simpang Kuala yang diadakan di Kompleks Hijau Kuning, Alor Star.

“Tidak dinafikan peniaga suka tempat orang ramai, tempat lalu-lalang orang banyak. Dulu masa saya kerja di (majlis) bandaran orang marah, dia Tanya pasai apa tempat tu tak bagi? Tempat tak ada orang siapa nak beli? Ini memanglah persoalan yang kena diatasi bersama antara tuan-tuan dengan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Menurut beliau, peniaga boleh mengemukakan kertas kerja atau memorandum kepada PBT dan menghantar wakil untuk mengadakan perbincangan secara terhormat sebagai sebuah persatuan berdaftar.

Beliau yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menjelaskan bahawa PBT memiliki kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang melanggar peraturan.

“Jadi kita nak kedua-dua pihak win-win, maknanya menang-menang dengan adanya tolak ansur antara pihak berkuasa tempatan dengan penjaja-penjaja,” serunya.

Menurut beliau lagi, beberapa kawasan perniagaan awam di sekitar Alor Star akan diambilalih dan disusun semula oleh Majlis Bandaraya Alor Star. Ujarnya tindakan itu dilakukan dalam usaha mengatasi beberapa permasalahan yang melibatkan lalu lintas, perebutan tempat berniaga, peniaga tanpa lesen, pendatang tanpa izin dan lain-lain.

“Oleh itu PBT akan susun semula. Maka kemukakan memorandum dan cadangan kepada PBT, apa yang tuan-tuan mahu. Dari segi kebersihannya, pembahagian petaknya, susunan aturnya demi kemudahan peniaga-peniaga dan pengunjungnya. Ini perlu untuk adanya persefahaman antara penjaja dengan pihak berkuasa tempatan.

“Kadang-kadang kita kata kita sudah bersihkan lepas meniaga, tetapi pihak berkuasa kata tidak dibersihkan dengan sempurna. Jadi adanya tidak sefahaman. Ini perkara biasa yang kadang-kadang berlaku. Apapun, kerjasama kena ada,” nasihatnya.

Menurutnya lagi, PBT memiliki undang-undang dari perkara yang besar hingga yang kecil dalam hal perniagaan. Oleh itu pematuhan kepada undang-undang bertujuan tidak mengganggu dan memudharatkan pihak lain selain turut membantu pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan melalui PBT sedang berusaha mengenalpasti tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan tempat peniaga kecil menjalankan perniagaan selain berusaha membantu peniaga agar berkemampuan memiliki premis perniagaan sendiri.

Majlis Gotong Royong Bersama YB Dato' Mohamad Taulan Rasul/ YB Md Rohsidi Osman dengan Penduduk Taman Rakyat


ALOR STAR, 4 Mei (Hrkh) – Masyarakat di kawasan kejiranan Taman Rakyat, Jalan Sultanah, Alor Star hari ini mengisi kelapangan hujung minggu mereka dengan mengadakan majlis gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka.

Muafakat antara mereka jelas dilihat apabila masyarakat dari segenap peringkat umur menyertai gotong-royong yang bermula seawal jam 8.00 pagi. Terdahulu sebelum itu mereka menikmati sarapan bersama yang disediakan oleh pihak penganjur iaitu Kariah Surau Taman Rakyat.

Lebih meriah, program tersebut turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Mohamed Taulan Mat Rasul dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Md. Rohsidi Osman.

Program turut dimudahkan dengan komitmen dari Majlis Bandaraya Alor Star, Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Star, Jabatan Kerja Raya Alor Star dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

Pengerusi Surau Taman Rakyat, Mohammad Isa Shari menjelaskan gotong-royong tersebut diadakan selain bertujuan membersihkan kawasan kejiranan, ianya juga untuk menyatupadukan penduduk Taman Rakyat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Jelasnya lagi, penduduk turut merancang untuk mencantikkan kawasan kejiranan tersebut dengan menggantikan pokok-pokok dan kemudahan yang telah lama dengan yang baru selain meneruskan aktiviti gotong-royong dari masa ke semasa.

“Oleh kerana taman ini berada dalam bandaraya (Alor Star), jadi kita sebenarnya membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencantikkan lagi kawasan-kawasan dalam bandaraya. Inipun tanggungjawab kami juga untuk bersama dengan Majlis Bandaraya (Alor Star),” ujar beliau yang juga merupakan Imam Masjid Bukhory, Alor Star.

Sementara itu, Mohamed Taulan pula mengharapkan agar penduduk dapat bekerjasama dengan PBT dalam menjaga kebersihan.

“Sama-sama kita tolong PBT membersihkan kawasan kita sekurang-kurangnya dengan kita buang sampah di tempat yang dikhaskan,” pohonnya.

Dalam mewujudkan hubungan itu, ujarnya PBT juga perlu menyediakan kemudahan yang secukupnya serta memastikan proses penyelenggaraan berlangsung sebaiknya.

“Biar kita berasa selesa hidup dalam bandar, orang yang datang ke bandar kita juga rasa selesa. Ini akan meramaikan lagi orang datang ke bandar kita,” jelasnya.

Kesempatan berada di Taman Rakyat turut digunakan beliau untuk melawat kenalan lamanya, Dr. Abdullah Ibrahim yang keuzuran.

Menurut beliau, Dr. Abdullah yang kini mengidap Parkinson pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Institut Agama Islam Kedah (INSANIAH) dan Koleh Islam Darul Ulum. Dr. Abdullah juga pernah dilantik sebagai Penasihat Syariah di beberapa buah bank tempatan dan luar negara.

Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Dan Pentadbiran PBT Negeri Kedah


LANGKAWI, 29 Jun – Intelektual, budi bicara dan kesediaan menyediakan pengurusan yang berkesan melalui kefahaman isu masyarakat setempat dan mesyuarat amat penting dalam mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik.

Demikian antara intipati yang ditegaskan Menteri Besar Kedah, YAB Ustaz Haji Azizan Abdul Razak pada ucapannya sempena Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Dan Pentadbiran Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah Bagi Penggal 2008-2009 di Hotel Bayview, di sini.

“Hari ini isu semasa cukup banyak dan pantas berubah sementara Ahli Majlis pula berada dalam isu.

“Isu maksud saya perkara-perkara yang menjadi tumpuan masalah di kalangan rakyat. Isu-isu yang ada memerlukan kepekaan kita memahami budaya, adat-resam, pantang larang, suka tidak suka masyarakat dan inilah yang dipanggil intelektual,” ujar beliau.

Oleh itu, serunya, Ahli Majlis PBT perlu mentadbir sebagai golongan intelektual yang berbeza dengan golongan berpelajaran.

“Orang yang belajar kejuruteraan dia tahu ilmu kejuruteraan, yang belajar undang-undang dia tahu ilmu undang-undang, itu educated.

“Tetapi intelektual, selain ilmu asas yang dipelajarinya itu perlu juga difahami ilmu cabang yang berkait dengan kerjayanya,” terangnya memahamkan.

Kerana itulah, menurut beliau, budi bicara penting ada dalam menjalanan sesuatu urusan.

“Budi bicara adalah senjata pentadbiran yang cukup mahal, cukup tajam,” tegas beliau.

Menurutnya, Majlis Daerah adalah satu kerajaan kecil dalam kerajaan atau satu pemerintahan kecil dalam pemerintah. Maka, PBT itu secara tidak langsung jelasnya, menjadi cermin kepada kerajaan yang memerintah.

“Oleh itu, peranan tuan-tuan cukup besar, kerana kita mengamalkan colective-responsibility.

“Kita saling melengkapi dan memenuhi antara satu sama lain untuk mewujudkan satu masyarakat dan pentadbiran yang baik,” jelasnya yang turut menegaskan mesyuarat sebagai kaedah dalam mencapai tuntutan tersebut.

Sebagaimana dalam kebanyakan ucapannya kepada golongan pentadbir, Ustaz Azizan turut menekankan kepentingan sistem penyampaian yang berkesan. YAB Ustaz Azizan turut menyentuh tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan menyediakan persekitaran yang convenient, tenang, aman dan bersih agar rakyat dapat hidup dengan selesa selain menarik kunjungan pelancong ke negeri ini.

Kira-kira 300 Ahli Majlis PBT bersama pegawai-pegawai pengurusan terlibat dalam seminar selama tiga hari itu dimana enam kertas kerja dibentangkan.

Perutusan AidilFitri dari MB


Sunday, September 28, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI YAB MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bagi pihak kerajaan Negeri Kedah, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, kepada rakyat negeri Kedah dan tidak ketinggalan kepada seluruh muslimin-muslimat di negara ini.
Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.
Semoga ‘Madrasah Ramadhan 1429’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan.
Setelah sebulan dalam bulan Ramadhan, kita bakal sama-sama menyambut hari kebesaran, iaitu Aidil Fitri.
Di sinilah letakkan penghujung atau kemuncak setelah kita berlapar dahaga, bersabar dengan cabaran Ramadhan, bermunajat di malam Ramadhan dan seumpamanya.
Segalanya bakal lenyap tanpa pahala jika kita alpa dan dilalaikan dengan sambutan Aidil Fitri yang terkeluar dari norma-norma Islam.
Islam menganjurkan kita memuji nama Allah apabila menjelangnya Syawal, memanjatkan rasa syukur kerana berjaya melalui ujian besar menghadapi Ramadhan serta bersedih kerana kita sudah terlepas daripada Ramadhan, bulan yang penuh rahmat.
Menyambut hari kemenangan ini tidak salah, tetapi yang salahnya adalah cara menyambut Aidil Fitri.
Kejayaan akan menjadi milik kita dengan pertolongan Allah swt sekiranya kita berjaya menzahirkan ketaqwaan dan keimanan yang kukuh.
Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan mestilah menjadi pegangan dan panduan kita untuk dibawa ketengah masyarakat bagi menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kemusnahan dengan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kesejahteraan yang sebenar.
Semoga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim sesama rakyat di negeri ini.
Saya yakin, kesempatan ini akan digunakan oleh rakyat dari berbilang bangsa untuk kunjung-mengunjung antara satu sama lain.
Teruskanlah budaya muhibbah ini, negeri ini milik kita, Kedah Sejahtera kerana kita.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT, menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain.
Tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat pulang berhari raya di negeri tercinta ini kepada anak-anak Kedah yang berada di perantauan.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)
Sekian, terima kasih.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.
Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman

Wednesday, September 17, 2008

Maklumat Semasa

Sunday, September 14, 2008

Lebihan akaun kerajaan negeri selepas enam bulan


Oleh Izwan Abdul Halim

KUALA KEDAH, 10 September – Laporan semasa kewangan negeri Kedah menunjukkan perkembangan positif dengan terdapatnya lebihan puluhan juta ringgit di dalam penyata kira-kira kewangan negeri.
Demikian menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Zakat Dan Berbuka Puasa di Masjid Kariah Kampung Hutan, Mukim Padang Hang, di sini.
"Kita dapat maklumat daripada Pegawai Kewangan Negeri, inilah kali pertama dalam masa enam bulan, kira-kira kewangan negeri kita positif," maklum beliau pada majlis itu.
Terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pada petang itu, Ustaz Azizan mengarahkan Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung Jenayah Pecah Amanah yang berlaku di dalam pengurusan sesetengah GLC terbabit semasa di zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Ujarnya, Kerajaan Negeri setelah enam bulan mengambil alih tampuk pemerintahan menjumpai banyak penyelewengan serta salah guna kuasa dan wang yang dilakukan pentadbiran terdahulu.
Dalam perkembangan lain, YAB Menteri Besar pada 5 Ogos lalu memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan puluhan juta ringgit hasil daripada polisi belanja berhemah yang diamalkan selain mengurangkan 30 peratus peruntukan untuk pembangunan berikutan kenaikan harga minyak pertengahan Jun lalu.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 3:07 PM

Wednesday, September 10, 2008




Monday, September 8, 2008

AHLI PARLIMEN POKOK SENA BIDAS KERAJAAN NEGERI GAGAL SELESAI ISU SAMPAH

Oleh Izwan Abdul Halim
POKOK SENA: Kegagalan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) menyelesaikan masalah pengurusan sampah di bandaraya ini khususnya di kawasan-kawasan kediaman sejak sekian lama ditempelak Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Tuan Haji Mahfuz Omar.
Dalam satu sidang media di rumahnya di Taman Satria, 5 September baru-baru ini, beliau menyifatkan perkara memalukan itu sebagai kelemahan MBAS yang sangat ketara dari segi kecekapan bekerja, komitmen dan kesungguhan untuk menangani isu tersebut
"Saya sudah hampir hilang kesabaran melihat masalah sampah ini apatah lagi timbul di tempat tinggal saya sendiri.
"Di setiap rumah ada longgokan sampah yang sudah berulat dan berbau busuk sejak 31 Ogos lagi," beritahunya.
Terangnya, beliau percaya MBAS tidak akan melakukan proses kutipan pada hari tersebut memandangkan hari cuti dan keesokannya, Sabtu juga merupakan hari cuti.
Beliau turut mendakwa MBAS juga gagal menguruskan tapak pelupusan sampah di Jabi dan membiarkan lebih sebulan tanpa operasi.
"Ini menunjukkan lembab, tidak efisyen, tidak ada semangat bekerja kepada pegawai-pegawai tinggi MBAS. Saya kira pihak Kerajaan Negeri harus meneliti hal-hal ini khususnya kedudukan Datuk Bandar kerana dilihat tidak mengambil apa-apa tindakan dan langkah perlu bagi mengatasi masalah pengurusan sampah yang berlarutan sehingga kini," ujarnya tegas.
YB Mahfuz turut melahirkan rasa kesal terhadap Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan kerana tidak menunjukkan komitmen untuk melihat masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam kawasan bandaraya.
Ujarnya, beliau tidak nampak satu langkah yang bersungguh dan berkesan diambil oleh pihak exco tersebut untuk memberi pengarahan dan tindakan kepada MBAS seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.
Beliau turut menganggap tindakan MBAS berunsurkan sabotaj terhadap Kerajaan Negeri untuk membiarkan timbulnya rasa marah di kalangan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Kedah khususnya kerajaan di bawah Pakatan Rakyat ini yang diterajui oleh PAS.

"Bagi saya Kerajaan Negeri harus mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak satu tanggapan negatif.
"Saya menganggap ini bukan sahaja sabotaj kepada Kerajaan Negeri, ia juga adalah sabotaj terhadap sambutan Jubli Emas Tuanku Sultan Kedah dan menjejaskan bandaraya yang menjadi ibu negeri di mana sepatutnya berada dalam keadaan bersih," katanya yang turut mendakwa MBAS kini sudah dikenali sebagai 'Majlis Bandaraya Sampah'.
Mahfuz memberikan tempoh seminggu kepada MBAS untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tegas beliau, jika tidak berlaku sebarang perubahan yang memuaskan, beliau akan membuat laporan kepada polis, Jabatan Alam Sekitar, Badan Pencegah Rasuah dan Ketua Audit Negara.
"Saya minta supaya MBAS menyegerakan apa cara sekalipun sewa lori yang munasabah. Kita tidak mahu lagi lori yang buruk dan jika mengambil sampah pun mengalirkan air kotor ke jalan raya.
"Jadi mereka mesti menyewa lori seberapa segera dengan mengeluarkan peruntukan dan menyewa jentolak untuk ditempatkan di tempat pelupusan sampah," tegas beliau.
Tambah beliau, pengumuman oleh Kerajaan Negeri untuk membayar bonus kakitangannya dan membayar hutang Kerajaan Persekutuan baru-baru ini menunjukkan Kerajaan Negeri memiliki keupayaan kewangan.
Oleh itu, pinta Mahfuz, peruntukan yang munasabah juga perlu dikeluarkan untuk membeli lori atau menyewa dalam tempoh terdekat ini.
"Oleh kerana Kerajaan Pusat akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal ini, maka saya rasa wajar sewa sahaja," cadangnya.
Beliau turut menuntut Kerajaan Negeri mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Bandar dan pegawai-pegawai tertinggi MBAS serta melakukan semula pengstrukturan MBAS.
"Semua ini berpunca daripada kepimpinan tertinggi MBAS. Saya melihat kepimpinan MBAS lebih komited untuk mengambil tindakan terhadap penjaja.
"Mereka sudah hilang arah, sama ada hendak ambil tindakan kepada penjaja atau mengatasi masalah kebersihan," katanya.
Mahfuz turut menuntut agar Kerajaan Negeri membuat penyiasatan audit terhadap MBAS, termasuk sejak dari Majlis Perbandaran Kota Star lagi.
"Lihat bagaimana wang hasil percukaian diperolehi dan geran yang diperolehi daripada Kerajaan Pusat bagaimana mereka membelanjakannya.
"Adakah perbelanjaan itu menepati keperluan untuk menyediakan khidmat kepada rakyat atau perbelanjaan yang tidak menjurus kepada persoalan perkhidmatan," ujarnya mempersoalkan.
Ujar Mahfuz, tindakan beliau bukan sahaja sebagai seorang ahli politik tetapi juga pembayar cukai.
Bagi beliau, tanggungjawab untuk mengutip sampah bukan hanya kepada pembayar cukai pintu tetapi telah menjadi tanggungjawab kepada sebuah Majlis Bandaraya untuk memastikan kebersihan terjaga.
Menurutnya, keadaan seperti itu boleh menimbulkan kesan kesihatan apatah lagi kawasan perumahan yang beliau diami berada bersebelahan Hospital Sultanah Bahiyah. Tegasnya, persekitaran hospital seharusnya memiliki keadaan kebersihan dan kesihatan yang terjamin.
Mahfuz turut meminta Kerajaan Negeri 'mempertahankan diri' dengan menubuhkan audit dalaman untuk memberitahu kepada rakyat bahawa perkara tersebut berpunca daripada penyelewengan lalu dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan.
"Saya tidak teragak-agak untuk mengerah lebih ramai berkumpul di hadapan MBAS untuk lambakkan sampah, bukan ke pejabat, tetapi ke muka Datuk Bandar. Bagi saya ialah soal kepentingan pengguna dan rakyat harus diutamakan," tegas beliau membayangkan kemungkinan mengulangi tindakan simbolik yang pernah dilakukannya itu dahulu.


Tuesday, September 9, 2008

Monday, September 8, 2008
PUKUL 3 PETANG BARU BOLEH MULA JUAL MAKANAN
Oleh Izwan Abdul Halim

ALOR STAR: Sepanjang Ramadhan ini, premis-premis makanan bermasak orang Islam di seluruh negeri ini hanya dibenarkan memulakan operasi dari jam 3 petang untuk mengelak dijual kepada orang Islam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri, YB Dato' Tuan Haji Mohamed Taulan Mat Rasul dalam temubual di pejabatnya, 3 September lalu.

"Kedai-kedai makan yang dilesenkan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kita mintalah kerjasama, ini bukan undang-undang. Soal dipatuhi atau tidak itu terpulang.

"Kita tidak buat peraturan kecil untuk ketetapan itu. Kita cuma meminta kerjasama dan kita beri kuasa pihak PBT mengadakan kawalan kepada semua tempat itu," katanya.

Menurut beliau, Penguatkuasa PBT akan mengadakan pemantauan dan premis-premis yang melanggar perkara itu akan diberi notis tunjuk sebab berdasaran undang-undang kedai makanan sedia ada.

"Kita hendak mereka menjaga tatatertib bulan Ramadhan, itu sahaja," ujarnya ringkas menerangkan maksud.

Posted by Warta Darul Aman Daily at 12:08 PM