Saturday, September 27, 2008

Perasmian Mesyuarat Agong Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Simpang Kuala

ALOR STAR, 27 April (Hrkh) – Para peniaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mewujudkan suasana menang-menang iaitu dengan perbincangan dan tolak ansur dalam mencapai persefahaman antara kedua-dua pihak.

Demikian menurut Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohamed Taulan Mat Rasul dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-9 Penjaja-penjaja Kecil Melayu Kawasan Simpang Kuala yang diadakan di Kompleks Hijau Kuning, Alor Star.

“Tidak dinafikan peniaga suka tempat orang ramai, tempat lalu-lalang orang banyak. Dulu masa saya kerja di (majlis) bandaran orang marah, dia Tanya pasai apa tempat tu tak bagi? Tempat tak ada orang siapa nak beli? Ini memanglah persoalan yang kena diatasi bersama antara tuan-tuan dengan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Menurut beliau, peniaga boleh mengemukakan kertas kerja atau memorandum kepada PBT dan menghantar wakil untuk mengadakan perbincangan secara terhormat sebagai sebuah persatuan berdaftar.

Beliau yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menjelaskan bahawa PBT memiliki kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang melanggar peraturan.

“Jadi kita nak kedua-dua pihak win-win, maknanya menang-menang dengan adanya tolak ansur antara pihak berkuasa tempatan dengan penjaja-penjaja,” serunya.

Menurut beliau lagi, beberapa kawasan perniagaan awam di sekitar Alor Star akan diambilalih dan disusun semula oleh Majlis Bandaraya Alor Star. Ujarnya tindakan itu dilakukan dalam usaha mengatasi beberapa permasalahan yang melibatkan lalu lintas, perebutan tempat berniaga, peniaga tanpa lesen, pendatang tanpa izin dan lain-lain.

“Oleh itu PBT akan susun semula. Maka kemukakan memorandum dan cadangan kepada PBT, apa yang tuan-tuan mahu. Dari segi kebersihannya, pembahagian petaknya, susunan aturnya demi kemudahan peniaga-peniaga dan pengunjungnya. Ini perlu untuk adanya persefahaman antara penjaja dengan pihak berkuasa tempatan.

“Kadang-kadang kita kata kita sudah bersihkan lepas meniaga, tetapi pihak berkuasa kata tidak dibersihkan dengan sempurna. Jadi adanya tidak sefahaman. Ini perkara biasa yang kadang-kadang berlaku. Apapun, kerjasama kena ada,” nasihatnya.

Menurutnya lagi, PBT memiliki undang-undang dari perkara yang besar hingga yang kecil dalam hal perniagaan. Oleh itu pematuhan kepada undang-undang bertujuan tidak mengganggu dan memudharatkan pihak lain selain turut membantu pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan melalui PBT sedang berusaha mengenalpasti tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan tempat peniaga kecil menjalankan perniagaan selain berusaha membantu peniaga agar berkemampuan memiliki premis perniagaan sendiri.

No comments: