Sunday, June 13, 2010

Ada pelajar luar negeri datang Insaniah berbekal RM100 sahaja

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR - Kolej Universiti Insaniah ditubuhkan pada awalnya untuk membantu anak-anak Kedah mendapatkan ilmu, namun kini ia berkembang dan terbuka untuk penuntut seluruh negara dan antarabangsa.

“Tujuan penubuhannya adalah untuk membantu anak-anak Kedah supaya berilmu, kemudian mendapat sambutan dari seluruh negeri dalam Malaysia, kemudian dibuka kepada pelajar antarabangsa.

“Ada pelajar dari luar negara yang datang ke sini untuk belajar hanya berbekalkan RM100 sahaja untuk perbelanjaan empat tahun. Tapi kita usaha cari bantuan supaya pelajar berkenaan dapat belajar sehingga berjaya mendapat ijazahnya,” kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak di hadapan lebih 3000 ibu bapa serta keluarga pelajar baru Insaniah pada hari pendataran bagi sesi 2010/2011.

Katanya, letika penubuhannya pada tahun 1994, Insaniah hanya mengambil penuntut dari negeri Kedah sahaja, kini Insaniah sudah berkembang dan mendapat keyakinan ibu bapa seluruh negara dengan 4,000 pelajar dalam negeri dan 756 pelajar antarabangsa.

Begitu juga dengan kursus yang ditawarkan bermula dengan Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin. Sekarang Insaniah menawarkan 41 program di mana yang terbaru ialah bidang professional yang digabungkan dengan intergrasi ilmu Islam iaitu Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Kejururawatan, Perubatan dan Perakaunan.

“Kita mengutamakan perkembangan bidang professional dengan tidak mengabaikan

ilmu kifayah dalam pengajian Islam bagi melahirkan doktor, akauntan atau jurutera yang hafaz Quran,” ujarnya.

Insaniah juga menawarkan program ijazah lanjutan termasuklah empat program peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan empat Ijazah Sarjana iaitu Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab dan Muamalat.

Lain-lain program yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Perubatan di mana pengambilan pada Julai ini dan Diploma Perhotelan, Perkhidmatan Halal serta Sarjana Kaunseling Islam.

Manakala program intergrasi termasuklah Asasi, Diploma Tahfiz A-Quran dan Ijazah Bahasa Inggeris dan Hafiz Al-Quran, Pengurusan dan Tahfiz Al-Quran serta Perubatan dan Tahfiz Al-Quran.

Tambah Ustaz Azizan, Insaniah bukan sahaja mahu cemerlang dalam akademik tetapi juga memberi keselesaan dari segi suasana pembelajaran kepada semua penuntut serta kakitangannya.

Oleh kerana kampus tetap Insaniah belum siap beliau menasihatkan para pelajar supaya terima seadanya akan kemudahan yang disediakan sekarang.

“Pihak pentadbiran Insaniah menghadapi masalah asrama bagi para pelajar kerana asrama yang ada tidak mencukupi bagi menampung pertambahan pelajarnya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Apabila siap kampus itu kita tidak akan menghadapi masalah kekurangan asrama kerana kampus yang lengkap itu mampu menampung seramai 7,000 pelajar,” katanya.

Ujarnya, kampus induk di atas tapak seluas 320 ekar di Kuala Ketil bernilai RM330 juta dijangka siap pada tahun 2012.

No comments: